Hari ini berlalu hari ke 11 di bulan Ramadhan. Puasa kali ini agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Kalau dulu ada aktiviti ke surau berselawat tarawikh, tetapi kali ini hanya bersolat di rumah sahaja. Abg Zak hanya berpuasa di hari pertama sahaja. Atas nasihat doktor dan pakar diet di Hospital Serdang, Abg Zak tak dibenarkan puasa.
Keadaan Abg Zak agak merisaukan saya dan keluarga. Dia tak berselera untuk makan langsung. Kalau dipaksa suap makanan yang dia tak mahu, akhirnya muntah aje. Dalam 2-3 hari ini, tak ada makanan yang masuk dalam perut Abg Zak. Hanya buah buahan sahaja yang dijamahnya. Itupun dalam amaun yang amat sedikit. Air yang diminum juga agak sedikit. Air kosong/suam, Milo, Horlicks dan jus buah-buahan ada juga diminum. Tetapi makan sahaja yang dia tak mahu.
Dalam kemeriahan bazar Ramadhan yang menjual pelbagai juadah, sempat juga saya membeli kuih-kuih yang menjadi kegemaran Abg Zak sebelum dia sakit. Bengkang Roti yang sering dibeli di Ramadhan yang lalu, saya pun membelinya. Tetapi apabila nak disuapkan ke mulutnya, dia menggeleng kepala. Kuih Kole Kacang yang menjadi kegemarannya dulu juga langsung tak mahu dicuba. Hari ini saya hanya "berjaya" suapkan sekeping biskut fibre dicicah dengan air milo sahaja. Itupun masuk suapan ke 4, dia dah 'uweekkkkkk...' muntah.
Bingung jadinya. Tak tahu apa yang nak diberi Abg Zak makan. Kalau ditanya apa yang nak dimakan Abg Zak, dia tak tau nak jawab. Bagi Abg Zak, tak ada apa yang dapat membuka seleranya.
Sewaktu blog ini ditulis, Abg Zak lena. Itulah rutin hidup dia. Badan Abg Zak dah semakin kurus. Tulang2 tersembul jelas terutama di bahagian abdomen/badan/paru-paru. Mata juga dah cengkung. Rawatan ke atas Abg Zak masih diteruskan dengan akupuntur. Tetapi vitamin dan susu yang dibeli sudah tidak dapat diminum oleh abg Zak lagi. Dia dah jemu dan tak dapat terima semua susu dan vitamin USANA. Walau dipujuk sekalipun, Abg Zak menolak dan menggeleng kepala. Abg Zak juga dah kurang bercakap-cakap. Bila ditanya, selalu dijawab dengan menggeleng atau mengangguk sahaja.
Ya Allah... berilah kekuatan kepada Abg Zak untuk sembuh. Tabahkanlah hati aku dan anak-anak di dalam mengharungi kehidupan yang sungguh berbeza ini. Semoga di bulan yang penuh berkat ini, doa hamba Mu dimakbulkan oleh Mu.
Coretan 11 September 2008
11 55 malam.
1 comment:
Assalamualaikum.....
Setiap kali ku baca coretanmu.....air mata ini mengalir tanpa dipinta......
Doaku semoga suamimu sihat hendakNYa dan semoga sahabatku ini tabah dalam menghadapi ujian dari ALLAH yang Maha Esa
Post a Comment