Thursday, September 04, 2008

FISIOTERAPI HOSPITAL SERDANG 2

Abg Z bertatih...
Salam semua,
Hari ini Rabu 4 September 2008, Zak menjalani latihan fisioterapi kali ke 2 di hospital Serdang. Latihan mengayuh masih dilakukan. Kali ini ditambah dengan latihan berdiri dan menapak. Jurupulih anggota, Ira namanya membantu Z berjalan. 5 kali ulang alik. Yes... u can do it..
Wassalam

Monday, September 01, 2008

Selamat Berpuasa

melihat Nabila mencedok bihun... ada milo ais, murtabak...
Macam-macam ada..... yummy yummy.. tapi kurma dan air milo je yg dijamah Zak

Assalamualaikum semua pembaca blog diarizakwan,

Saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan bulan yg berkat. Sempena bulan yg mulia ini saya berharap teman-teman pembaca blog (juga rakan sekerja Z di JKR yg dah mula forward sesama mereka address blog ini) dapat sama-sama berdoa untuk abg Z supaya beliau sembuh dan kembali sihat menjelang Aidil Fitri nanti.


Hari pertama puasa abg Z pun nak puasa juga walaupun saya tak menggalakkan dia berpuasa. Siang hari dia okee je. Tetapi sewaktu berbuka, dia tak pun teringin untuk menjamah makanan yang dihidangkan. Kami dudukkan dia di wheel chair dan sama-sama makan di meja makan. Dia hanya makan air milo ais dan kurma sebiji sahaja. Katanya dah kenyang.


Hidangan berbuka ada menu Bihun Goreng, lauk pauk : Ketam masak lemak, ayam goreng berempah, sambal tempoyak, sayur goreng,ikan goreng dan puding sumbangan Nisah ada dihidangkan. Murtabak pun ada (beli). Satu pun dia tak nak. Bila tanya menu apa dia nak, pun dia tak dapat beritahu.

Memang merisaukan saya... kadang-kadang tak tau apa yang diinginkan dia.

Kepada teman-teman Zak, kalau ada masa, telefon lah dia di nombor telefon yang sama. Handfon dia selalu ada di sisi dia. Kalau tak dijawab maknanya dia terlena. Hubungi lagi walaupun banyak kali. Biar dia bercakap dan berfikir untuk merangsang otaknya.

Sekian dulu coretan di hari pertama Ramadhan.


Rafidah. Kajang.

Tuesday, August 26, 2008

FISIOTERAPI HOSPITAL SERDANG 1



Assalamualaikum,
Pada 4 Ogos lepas Zak menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Serdang. Zakwan dan Najib serta Hafiz (Pak Su) pun ikut sama untuk membantu angkat/papah Zak. Zak diajar cara bangun/duduk. Kemudian kami diajar cara dirikan Zak. Zak kemudian disuruh berkayuh selama 15 minit. Dia dapat lakukannya !!
Sekian..

Saturday, August 16, 2008

KONVOKESYEN


SARJANA PENDIDIKAN PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN



Assalamualaikuma...
Sehari dua ni susah pulak nak masuk streamyx. Pasai pilihanraya Permatang Pauh kot. Nak upload gambar pun tak boleh. Ini pun masukkan cerita guna line TM Net 1315 jer... Anyway kalau nak tgk gambar KONVO, lawati je blok teman2teman saya. http://kelabjomjalan-jalan.blogspot.com/ atau
http://adamdiari.blogspot.com/

Any comment... sila kan.
Wassalam
Rafidah.




Salam... gambar baru dimasukkan. Gambar diambil di hadapan pintu masuk UKM dan gambar dengan Nabila. Gambar lain-lain boleh lawati blog kawan-kawan saya.


Wassalam.

26 Ogos 2008

Friday, August 08, 2008

Acupuncture Lagi....

Kurus dah Abg Zak kita.. makan tak lalu.
Penonton acupuncture

Menggunakan aliran elektrik di jarum-jarum acupunctur


Hujung jari tangan... lepas acupunctur jari Zak dapat gerak lebih dari video sebelum ni... Insyaallah....


08.08.08 petang... En Zaharin merawat Zak dengan acupunctur. Kali ini Zak didudukkan di wheel chair. Sewaktu rawatan Kak Na, Abg Azhari, Zaid, Muaz, Abg Azim, Kak Lydia, Indra, Kak Yam ada bersama. Puan Rashidah dan anaknya Zaffan pun datang dari Putrajaya. Terima kasih kerana melawat Zak.

Kepada Abg Azim, terima kasih kerana membiayai kos ubahsuai bilik air menjadikan bilik air sesuai untuk OKU. Pengubahsuaian dibuat dari segi toilet bowl, sinki, lantai, pemegang besi, paip dinding dan sinki.
Jutaan terima kasih juga kepada semua teman-teman dan saudara mara yang menyumbangkan wang untuk membiayai kos rawatan Zak. Kepada teman-teman sekolah yang membuat tabung kilat, teman-teman guru yang menyumbang secara individu dan juga kepada teman-teman ofis Z... jutaan terima kasih. Kepada Kak Zabedah, terima kasih atas sumbangan peribadi yang tinggi nilainya. Mudah-mudahan rezeki akak akan melimpah ruah. Amin. (kambing-kambing di ladang mendatangkan hasil lumayan ... )
Sumbangan anda semua akan saya gunakan sebaiknya untuk membiayai kos rawatan Z. Mudah-mudahan Zak akan pulih dengan bantuan saudara sekalian.
Hari ini Abg Azim buat UJIAN BERDIRI untuk Zak. Alhamdulillah Zak boleh berdiri walaupun untuk beberapa saat.
Sekian.
Rafidah menulis






BEKAM LAGI.... PAKAR BEKAM





Assalamualaikum,

Pada 08.08.08 yang lepas (tarikh best) zak menjalani rawatan bekam buat kali ke 2. Tapi kali ni kami menjemput Saudara Latif iaitu adik kepada Dr. Ibrahim yang terkenal di Batu 9 Cheras (Kg Melaka) untuk membuat rawatan tersebut. Sewaktu rawatan, Abang Azim dari Singapore (abang Zak) ada bersama. Kakak Lydia dan anaknya, Indra juga ada. Kos rawatan RM80.00
Sekian.. Rafidah menulis.


Thursday, August 07, 2008

Video Jari-jari Zak bergerak




LATIHAN SENYUM.. SMILE..SMILE...

Ini video terbaru Zak yang diambil hari ini 7 Ogos 2008. Hari ini juga En Zaharin Accupunctur datang merawat Zak.

Wassalam.

DALAM DUKA ADA GEMBIRA

MENCUBA JUBAH GRADUASI

AKHIRNYA KEJAYAAN MILIK KAMI... DENGAN WAN NORLIZA
MERAIKAN KEJAYAAN BERSAMA. WAN BELANJA
WAN, NORLIAH DAN SAYA.. MENUNGGU SUP GEAR BOX
Salam...
Alhamdulillah akhirnya saya, Wan, Lia, Fasihah dan Kak Mahfuza berjaya menamatkan Masters kami di UKM. Isnin lepas 4 Ogos, kami ke Pusat Pengajian Siswazah untuk mengambil Jubah Konvokesyen. Try punya try.... cari yg sesuai.. terasa gembira sangat. Penat lelah mengejar masa, kuliah dan assignment berbaloi. Lepas mencuba jubah, Wan belanja di Restoran Village View. Kami makan ikan siakap masak 3 rasa, sup gearbox, lala masak pedas, sayur kangkung masak belacan... dan air jus buah buahan.
Namun di sudut hati saya.. terasa gembira saya tak dapat diraikan bersama di dewan konvokensyen bersama Zak. Dua pas masuk tak digunakan. Wan ajak Nabila temankan ibu tercintanya. Satu lagi pas masuk diserahkan kepada abang Wan. Mana tahu... satu keajaiban berlaku.. Zak dapat bangun 12 Ogos!!!
Tahniah pada diri ku... Wan... Lia... Kak Mahfuza dan Fasihah..
Syukur kehadrat Allah s.a.w atas kejayaan yang Kau limpahkan. Sembuhkanlah suamiku dari penyakit angin ahmar... Jauhilah hambamu daripada sebarang kejahatan angin ahmar.
Rafidah 08.08.08


Sunday, August 03, 2008

Tetamu Melawat Zak


Assalamualaikum,

Hari ini 3hb Ogos 2008. Hampir sebulan Zak terbaring di katil. Tetamu tidak putus-putus datang melawat samada di Hospital Kajang, Hospital Serdang atau di rumah. Hari ini kami menerima tetamu dari Melawati iaitu Mak Chak dan Pak Chak (Pak Non dan Kak Gayah) dan Pak Lang, Mak Lang dan Anak mereka Amirul dari Sri Damansara. Pak Chak dapat tahu mengenai Zak melalui Kak Na dan Abg Azhari yang berkunjung ke rumah mereka untuk 'memanggil' kenduri kawin Zaid. Masing-masing datang bawa kuih. Pak Chak juga bawa durian - untuk org sihat jer... Zak tak boleh makan. Teima kasih kerana berkunjung ke rumah kami.
Sekian Wassalam.
Rafidah.

Saturday, August 02, 2008

MOGA BAPAK CEPAT SEMBUH

Zak di rumah. Suasana ruang tamu diubahsuai. Untuk keselesaan Zak

Susu untuk kesihatan. Alpha Lipid RM 150.00.. Nestle RM35.00

Ubat-ubat dari Hospital Serdang.
Makanan Tambahan
Supplement USANA
Zak dimandikan petang tadi 2 Ogos 2008. Segar rasanya....
Assalamualaikum..
Setelah pulang dari Hospital Serdang, keadaan Z bertambah baik. Dia dah lalu makan. Tapi yang dia mintak makan tu..agak tak sesuai. dia mintak BUBUR ASYURA... OOhhh... tak boleh makan lagi tu. Lemak dan manis... emm.. nantilah kalau sihat boleh la makan. Hari ni masak nasi lemuni, suaplah sikit kat dia. Dia makan la.. sikit. Nak letak sambal banyak-banyak takut sakit perut.
Zak makan tak banyak. Makin kurus. Puas pujuk dan sesekali 'paksa' makan. Kadang-kadang tak tahu nak suap apa. Semua jenis sup dah masak. Ikan masak halia, sup ikan, sup ayam...
Sementara tu kami dah dapat pembantu rumah. Dah 3 hari dia kerja. Alhamdulillah ok. Di waktu pagi hari, Zakwan akan membantu dia jaga Zak. Zakwan yang suap ubat kepada Zak. Zakwan juga yang bantu Zak buang air. Sampaikan bila Zakwan pergi sekolah, Zak akan tanya... 'zakwan mana?'... tak ambik Zakwan ke (baru pukul 3), dan bila hampir 6.30 Zak akan ingatkan 'jangan lupa ambik Zakwan'.... Alhamdulillah Zakwan pandai jaga bapak dia. Cuma masa perantaraan antara 11.30 - 1.00 tengahari je... Zak akan dijaga oleh pembantu rumah. Saya sendiri akan bergegas pulang ke rumah sebaik sahaja loceng akhir berbunyi. Semuanya untuk Zak... Kelas tuisyen semua batal.. kerana Zak juga. Terlalu banyak pengorbanan. Jam 5 pagi bangun dan lapkan seluruh badan Zak. Salin baju, tukar cadar (kalau perlu), suapkan ubat dan beri makan pagi. Routine hidup semua dah berubah.. Tapi saya redha. Ujian Allah kepada hambanya.
Sekian. Moga diberi kekuatan kepadaku... dan diberi kesembuhan kepada suami ku.
Rafidah.





Tuesday, July 29, 2008

VIDEO KAKI KIRI ZAK DAPAT GERAK

Video Nabila ambil di Hospital serdang menunjukkan kaki kiri Zak dapat gerak sedikit. Pada mulanya memang tak gerak langsung. Insyallah atas usaha gigih yang diambil, Zak dapat bergerak sikit kakinya. Semoga selepas ni, tangannya pulak dapat bergerak. Video ini juga menunjukkan Zak buat latihan 'senyum' dengan Nabila. Nampak senyum senget sebelah... Ada juga gambar Zakwan sedang landing di katil kosong yang ada di wad tu. eemmmm teringin masuk hospital ye... Selamat Menonton.

Rawatan yang telah dibuat :

1. Urut

2. Acupuncture

3. Bekam

4. Darul Syifa'

5. Tilam Terapi.

6. Makanan tambahan : susu Alpha Lipid, Intra, Vitamin Yusana.

Kesemua rawatan tersebut menyumbang kepada pergerakan kaki zak hari ini..Juga dengan izin Allah s.w.t. Alhamdulillah.

HOSPITAL SERDANG

Zak dengan tiub-tiub di badan
Ruang rehat untuk pelawat. Saya tidur di sofa tu jer... ok jugak..
Najib bawa bapak jalan-jalan di taman. Gambar diambil daripada tingkap wad 6C.
Doktor dengan laptop nye..Smart Hospital. Paperless...
Ruang katil Zak. Selesa dan ada peralatan canggih.
Zakwan disamping bapak.

Salam,
Rancangan kami untuk ke Melaka 26hb lepas terpaksa dibatalkan. Jummat 25hb, Zak mula muntah sikit-sikit tetapi warnanya agak pelik iaitu hitam dan sedikit coklat. Pagi 26hb (Sabtu) muntah zak makin banyak dan dapat semangkuk... Saya mulai risau dan bertanya Puan Salimah (dia rujuk anaknya seorang doktor). Dia minta dibawa ke hospital secepat mungkin kerana mungkin ada ulser perut. Saya segera telefon kawan2 Zak (ada yang dalam perjalanan ke rumah kami) supaya membatalkan rancangan ke Melaka. Khairul kawan Zak sudah sampai ke rumah kami, dan dengan bantuan dia dan jiran kami iaitu Zali dan Adzmi kami mengangkat Zak ke dalam kereta dan saya membawa Zak ke Hospital Serdang. Saya membawa bersama surat daripada Hospital Kajang yang memohon dibuat follow up di Hospital Serdang.

Lama juga menunggu ujian darah dibuat di wad kecemasan.Sewaktu di wad kecemasan, Zak muntah lagi. Dari jam 8 pagi, akhirnya jam 3 Zak dibawa ke wad 6C. Alhamdulillah suasana di wad Hospital Serdang sangat selesa. Walaupun saya layak Kelas A, tapi Zak awal-awal telah dibawa ke Kelas 2. Itu pun sudah cukup selesa. Zak diberi rawatan rapi dan memuaskan. Dia dikatakan mengalami STRESS ULSER iaitu yang biasa dialami oleh pesakit stroke. Ahad, hari ke 2, Zak menjalani endorscopic (betul tak ejaan). Alhamdulillah tiada apa yang membahayakan di dalam badannya. Tiada ulser. Cuma sedikit gastrik sahaja. Isnin Zak dah boleh makan 'soft diet'. Petang Isnin dia dah dibenarkan keluar hospital.


Terima kasih yang datang melawat Zak. Kak Zah juga turut datang 2 kali bersama Fendy dan Mak Tam. Zali, Kak Yah, Adzmi, Pah, Cikgu Roslan, Khairul dan isteri, teman-teman pajabat Zak, Pah, Marzuki dan ramai lagi. Ramai yang terkejut khuatir Zak diserang stroke kali ke 2.

Gambar menunjukkan suasana di Hospital Serdang. Hari ini Zak kembali ke rumah dan keadaannya lebih sihat berbanding selepas keluar Hospital Kajang !!

Sebentar tadi Zak menjalani susulan rawatan acupuncture oleh En Zaharin. Mudah-mudahan ada perkembangan baik selepas mendapat rawatan 10 kali. Insyallah.

Doa semua teman-teman dan saudara amat kami harapkan dan hargai.

Sekian terima kasih.


Rafidah.

Friday, July 25, 2008

Terima Kasih Najib, Zakwan dan Nabila

Nabila peluk bapak...
Salam..

Alhamdulillah sejak Zak balik ke rumah, saya melatih semua anak-anak sama-sama menjaga bapak mereka. Syukur, anak-anak membantu tanpa banyak soal. Najib dan Zakwan banyak membantu apabila proses mengangkat Zak. Nabila juga agak kuat menarik tangan bapak nya untuk duduk. Ubat-ubat, Nabila menjadi 'jururawat'. Dia memastikan semua ubat diambil. Nabila juga menyuap makanan ke mulut bapak. Nabila selalu memberi semangat dan dorongan kepada bapaknya. Zakwan pula menjaga bapak 3 hari (sebelah pagi) apabila saya mula bekerja. Dengan dibantu oleh Doktor Zaid yang turut sama menjaga. Insyallah Isnin depan (30hb Julai) kami ada pembantu rumah Indon yang baru.

Kepada anak-anak ku... semoga semua anak mak sabar dan tak jemu membantu menjaga bapak. Banyak pahala menjaga bapak yang sakit dan tak berdaya.
Wassalam.
2.05 pagi

Bekam

Darah kotor selepas dibekam
Bekam dan urut
Salam.

Pada hari Rabu 24 Julai 2008 lepas, usaha saya teruskan lagi dengan membuat Bekam. En Zahrin orang yang sama membuat acupunture telah meneruskan usaha membuat Bekam. Bekam adalah satu cara mengubat pesakit yang diamalkan sejak zaman Nabi lagi. 80% daripada penyakit dapat sembuh dengan cara berbekam... dan bahagian yang dibekam tidak akan terkena api neraka.
Alhamdulillah dengan izin Allah, selepas berbekam, jari-jari tangan zak dapat gerak sedikit. Jari kaki juga dapat bergerak dan kaki kirinya dapat diangkat sedikit.

Khamis lepas (25hb Julai 2008), Ustaz Badrul Zaman dari Darul Syifa' datang ke rumah merawat Zak. Alhamdulillah tiada benda "mistik" di dalam badan Zak. Pada mulanya kami risau jugak sebab En Ruzaidi dari Terapi Saraf kata.. dalam badan Zak ada benda "asing" dan dia di'kunci' di 3 tempat. Wah Wah..pandai-pandai je budak 29 tahun tu kata macam tu. Buat risau je kami sekeluarga.

Untuk makluman semua. kami akan ke Melaka esok (27hb) ke rumah Imam Mazlan di Bemban yang popular dengan rawatan stroke. semoga berhasil.. Insyallah. Doakan agar zak akan bertambah baik.

Sekian Wassalam.

Acupuncture Zak

Jarum di kepala Zak
Kurang jelas.. ada jarum di pipi Zak.

Salam.


Pada hari Isnin lepas 22 Julai 2008 zak menjalani rawatan secara acupuncture. Banyak juga jarum dicucuk ke badannya. Tumpuan di bahagian kepala. Gambar pertama menunjukkan jarum dicucuk ke bahagian kepala Zak. Selain bahagian kepala, bahagian tangan kiri pun ada... dada dan juga bahagian badan kanan. (http://www.acupuncture.com/conditions/strokec.htm)
Nak cerita kebaikan acupuncture pun tak pandai. Tengok lah banyak website pasal acupuncture. Mudah-mudahan aliran darah dan saraf Zak akan pulih dengan cara acupuncture, Insyallah.
Sekian.
Rafidah menulis.

Monday, July 21, 2008

Terkini Perkembangan Abg Zak

Salam semua..
Selepas Zak balik dari hospital, bermulalah kehidupan baru bagi saya dan keluarga menerima Zak yang jauh berbeza dari sebelumnya. Kalau dulu dia bergerak ke sana ke mari.. kini tempatnya hanyalah di atas tilam. Keadaan badannya yang seluruh badan kiri tak boleh bergerak menyebabkan dia hanya baring sahaja. Sesekali dia minta duduk, kami dudukkan dia. Itu pun tak lama. Ubat-ubat Zak kami beri ikut masanya. Masalahnya sekarang Zak kurang makan. Untuk mengatasi masalah kurang makan, saya telah membeli 2 jenis susu iaitu ALPHA LIPID dan Nestle Nutren Fibre. Nasib baik dia nak makan susu tu. Bubur dengan sup makanan harian dia. Pagi-pagi roti wholemeal tu. Buah juga disuapkan.
Masa Zak banyak dihabiskan dengan tidor sahaja. Waktu makan ubat terpaksa dikejutkan. Mandi dia hanya lap dengan tuala basah sahaja. Untunglah Ahad lepas Marzuki dan team jiran-jiran memandikan dia di luar setelah 15 hari tak mandi. Bagi saya, inilah pertama kali menguruskan pesakit yang hanya baring tanpa ke tandas. Alhamdulillah dapat saya lakukan dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
Untuk terapi sepanjang Zak tidur, saya membeli satu Therapeutic Mattress Pad yang diedarkan oleh Zhulian. Matress pad ini mengandungi Sinar Inframerah, Bio-Magnet, Batu Jade, Eon Negatif, Spinal Support dan Anti Dust Function (hama). Harganya RM 1500 tetapi di sponsor oleh Hajjah Azizah bt Hashim, ibu kesayanganku. Terima kasih mak...
Hari pertama Zak di rumah kami panggil tukang urut. 3 hari berturut-turut dia datang. Petang ni pakar akupuncture datang. Esok insyallah Terapi Saraf pulak. Ada juga cadangan ke Melaka berjumpa Imam Mazlan untuk membuang Angin Ahmar. Semoga usaha kami membawa kejayaan.
Kepada semua, doakan Zakaria pulih segera dan dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Wassalam.

TERIMA KASIH SEMUA

Assalamualaikum,
Zak balik ke rumah semula setelah 14 hari berada di hospital. Saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang berkunjung ke hospital melawat Zak. Teman-teman sekolah Convent Sg Petani, Fauziah dan Filzah yang melawat Zak.. juga kawan-kawan convent yang tidak datang tetapi telefon bertanya khabar. Thanks Roshanim, Che Sara, Sohana, Suzana, Arifah, Patmawati, Sharifah Rafisah, Kogilam serta yang tak disebut nama mereka, yang terlalu mengambil berat masalah saya.
Kepada rakan-rakan sekerja di SMK Perimbun (1994-2001), yang turut sama melawat Zak di hospital.. Jamilah Arshad, Noramizan, Norsiah Daud.. terima kasih. teman-teman sekerja SMK Bandar Baru Sungai Long, terima kasih kerana sudi melawat abg zak. Terlalu ramai untuk disebut nama. Juga tak saya lupakan, Pengetua SMK Bandar Baru Sungai Long, Puan Salimah bt Jafri yang datang dengan anaknya seorang doktor Hospital Kajang juga. terima kasih kerana memahami keadaan saya dan memberi banyak nasihat kepada saya serta membenarkan saya bercuti menjaga suami di hospital.
Tak saya lupakan kepada semua saudara mara yang berkorban masa dan wang melawat abg Zak. Kak Zah dan Mak Tam yang menjadi pelawat tetap, Abg Azim dari Singapore, Azha dan Sabariah juga dari Singapore, Anuar dan Baya dari Sik Kedah, Adik dan Nash dari Sungai Petani Kedah dan yang datang dari Lembah Klang - Pak Su Din, Kak Na dan Abg Azhari serta anak-anak juga ramai lagi. Terima kasih semua.
Kepada rakan sekerja Abg Zak terima kasih kerana datang melawat abg Zak (Pak Ya) samada di rumah atau di hospital. Ada yang datang lebih dari sekali. Terima kasih banyak-banyak.
Kepada semua anak murid yang sentiasa sms bertanya khabar, juga terima kasih. Jiran-jiran yang sentiasa membantu, Zali dan Kak Yah, Adzmi dan Pah.. juga Marzuki dan Pah yang terlalu banyak membantu. Thanks Marzuki kerana membantu mengangkat Z sewaktu dibenarkan keluar hospital. Terima kasih kerana datang pagi Ahad lepas mandikan Zak, potong rambut Zak dan menguruskan Z.
Terima kasih semua. Tiada kata ucapan yang dapat diucapkan untuk kalian semua. Budi kalian sungguh tidak dapat saya dan keluarga balas. Moga Allah membuka pintu hati semua untuk menerima hidayahNya. Doakan agar Zakaria kembali pulih untuk menjalani kehidupan harian seperti sediakala.
Sekian dari saya, Rafidah Hussein.

Sunday, July 13, 2008

BAPAK DI HOSPITAL



Najib termenung je.. Zakwan sempat berehat di katil kosong.
Rafidah menulis..
Assalamulaikum. 4 Julai lepas Zakaria (suami) diserang stroke pada jam 6.20 pagi. Nabila yang mula perasan tingkah laku ganjil bapak dia yang ketika itu nampak terhoyong hayang dan wajah yang agak 'pelik' tanpa mengetahui itu adalah akibat stroke. Nabila berlari turun ke bawah sambil menangis kerana takutkan bapak dia yang berkelakuan agak pelik. Saya ingatkan Nabila hanya diusik bapaknya... Nabila pun tak tau itu adalah stroke. Bila saya jerit " bapak.. are u ok?" .. Terdengar suara Zak kata .. " ok". EMmm.. ingat kan dia ok.. tapi bila Nabila berkali-kali berkata "bapak tu pelik la...", saya pun naik ke atas tanpa mengesyaki ada perkara tidak baik terjadi.
Alangkah terkejutnya saya apabila terlihat Zak dalam keadaan yang sangat tidak bermaya. Dia masih berdiri tapi badan kiri dia dah jatuh, kepala yang berat ke kiri, mulut yang sudah herot ke bawah (Ohhh... terkejut). Tangan kanannya sedang memegang kain pelekat yang separuh jatuh. Kaki Zak juga tidak dapat menampung berat badannya dan menyebabkan dia terhoyong hayang. Nasib baik Zak belum jatuh ketika itu. Saya terus memegang Zak sambil berkata yang dia diserang stroke. Berdegup jantung saya dan bertanyakan dia beberapa soalan. Untunglah Zak masih boleh bercakap. Katanya dia rasa diserang sewaktu sedang memakai baju singlet dia.
Saya dudukkan Zak di katil dan memanggil Najib. Zak kata dia nak solat subuh dahulu tapi saya katakan padanya, wudu' dia dah habis. Dengan bantuan Najib, dia papah Zak ke tandas untuk berwudu'. Waktu tu kaki Zak dapat jalan sikit-sikit. Sebaik sahaja Zak habis berwudu', dia terjatuh!! Tapi saya dan Najib ada di sebelah dia dan sempat papah dia (dah habis wudu' bila saya pegang). Tapi Zak tetap nak solat. Dia pun solat duduk (saya biarkan je atas permintaan dia nak juga solat walaupun wudu' dah batal).
Sementara Zak solat, saya membuat panggilan telefon ke jiran dan minta zakwan ke rumah Zali untuk meminta bantuan. Dengan bantuan mereka kami papah Zak naik kereta untuk dibawa ke hospital. Saya yang memandu kereta SUZUKI APV ditemani Zakwan. Tiba di hospital bahagian kecemasan, Zak diturunkan oleh kakitangan hospital serta Zali dan Adzmi (jiran).
Sehingga blog ini ditulis, Zak dah 11 hari dimasukkan ke wad. Saya akan sambung cerita. Hari ini 14 Julai, saya ambil cuti untuk menjaga Zak di hospital dan berjumpa Doktor Pakar.
Doakan agar suami saya cepat sembuh. Salam.



Thursday, June 12, 2008

HAPPY BIRTHDAY MAK

Ada straw lagi...
Jam 12 tengah malam 11hb dah ada sms pertama ucapan Selamat Hari Jadi Cikgu daripada pelajar tuisyen Shamim dari Putrajaya. Thanks Shamim. Di sekolah hari ini, pelajar ucap Selamat Sejahtera Cikgu..seperti biasa dan diikuti nyanyian "Happy Birthday to u... ". Thanks to all 5 I students. Koid Beng Seng from 5H... pagi-pagi lagi dah hantar hadiah di koperasi..

Di sekolah, 12hb disambut bersama oleh Puan Sarbanun. Kami ucap Selamat HAri jadi untuk masing2.... Dulu Raziah ada, dia pun 12hb tarikh hari lahir. Tapi dia dah pindah ke Putrajaya.

Malam tadi.. dalam pukul 10, saya bawa seisi keluarga makan di Restoran Village View. Menu utama ialah Sup GearBox yang berharga RM15 semangkuk. Mahal sikit tapi rasanya memang best. Straw digunakan untuk menghisap isi-isi bahagian dalam tulang.

Birthday kali ini tak ada KEK... emm... tak apa lah. Selalu sangat makan kek. Gantinya Semangkuk Sup Gear Box !!!

Sekian
Rafidah menulis.



Friday, June 06, 2008

PERTUNANGAN ZAID AISHAH 3 MEI 2008

Sampai je kami dijamu makanan tengah hari. Menu istimewa Asam Pedas Tumis Johor. Memang sedap dan tak pernah rasa sesedap ni...


Gambar Bawah: Berbaju hijau/biru belang-belang tu ialah ayah Aishah.


Pak Long Azhari dan kawannya yang dulu jiran di Terengganu. Turut menemankan.

Ha ha ha... dah bergambar.. Senyum je Zaid dan Aishah. Sebelum nikah mak duduk di tengah-tengah... Lepas ni tak ada 'tembok' dah.
Lepas habis acara minang meminang, sempat kami naik Menara Taming Sari di Melaka. Muaz pun ada sama. Tinggi jugak menara tu. Kena bayar RM10 seorang.
Saya dan Muaz...

BALIK SP 3 JUN




Tak banyak gambar diambil kali ni. Cuma kami beli hamster baru 2 ekor. Sama dengan yang dulu punya.. sebelum ni hamster kami diceroboh oleh Kucing Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). 3 ekor semuanya mati. 2 bangkai ditemui, lagi satu tak ditemui. Kucing panjat sangkar hamster dan jatuh.. terbuka sangkar sehingga semua hamster terlepas.
Kali ni, Kak Na, Kak Mi semua balik SP. Zaid dan Adilah pun ada.. juga Mirah.
Kami juga balik Alor Setar tengok cucu kami yg baru lahir .. hehe..anak adik. Tapi lupa ambil gambar.
Sekian..Wassalam
Rafidah menulis.

VIDEO LADANG KAMBING